mutakhir

Zakaria kembali terajui FGV

Oleh Nabil Basaruddin

FELDA Global Ventures Holding Berhad (FGV) mengumumkan Datuk Zakaria Arshad akan kembali menjalankan tugas sebagai Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif pada 16 Oktober ini selepas diarahkan bercuti sejak 6 Jun lalu.

FGV dalam kenyataan berkata, Lembaga FGV memaklumkan siasatan dalaman telah dijalankan dengan proses dalaman yang sepatutnya selaras dengan kehendak Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) yang menghendaki siasatan itu dijalankan dengan integriti, semangat kesaksamaan dan tadbir urus korporat yang tepat.

Menurutnya, penemuan berhubung siasatan dalaman itu turut dikemukakan kepada MKD yang mengambil masa untuk mengkaji sebelum membuat keputusan dan ia adalah selari dengan Artikel 80 Memorandum Tataurus FGV.

"Bagaimanapun, selepas mengambil kira program transformasi FGV yang sedang berjalan serta komitmen dan jaminan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dalam menyelesaikan hutang lama Safitex Trading LLC, MKD berhasrat membawa kembali Zakaria untuk menerajui Kumpulan FGV," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan FGV Datuk Wira Azhar Abdul Hamid berkata, beliau komited untuk memulih dan membawa syarikat ke tahap lebih tinggi di sebalik pelbagai cabaran yang dihadapi pada masa ini.

Disiarkan pada: October 9, 2017 @ 11:37pm
d