mutakhir

127 tenggiling dirampas

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung merampas 127 tenggiling dalam serbuan di premis di Hosba, Kubang Pasu, Sabtu lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, serbuan hasil maklumat awam itu dilakukan pada jam 6.30 pagi.

Beliau berkata, hasil siasatan lanjut semua didapati semua tenggiling dimiliki itu tidak memiliki dokumen yang sah daripada PERHILITAN.

"Semua hidupan liar itu serta dua kereta disita untuk siasatan lanjut. Dalam serbuan itu empat lelaki, dua warga tempatan dan dua wargaThailand turut ditahan untuk membantu siasatan," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 68 (2) (a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) kerana menyimpan tenggiling atau nama saintifiknya Manis javanica iaitu hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual Kedua akta sama melebihi 20 tenggiling.

Menurutnya, seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Abdul Kadir berkata, pihaknya memberi amaran keras kepada mana-mana individu yang menjalankan aktiviti pemburuan haram hidupan liar agar berhenti melakukannya serta merta.

"Jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia akan terus proaktif dalam mengesan dan menumpaskan pemburu haram hidupan liar di Semenanjung Malaysia dan memastikan mereka dikenakan tindakan tegas dan dihadapkan ke muka pengadilan.

"Hidupan liar adalah khazanah negara yang tidak ternilai dan eksploitasi hidupan liar perlu dikawal supaya mengelakkan kepupusan dan mengekalkan keseimbangan ekosistem," katanya.

Disiarkan pada: October 10, 2017 @ 12:25am
d