mutakhir

Mayat terikat dicampak ke cerun

Oleh HM Digital

Gombak: Tangan diikat dawai selain kepala dan kaki dibungkus dalam guni putih sebelum dibuang ke cerun bukit.

Itu keadaan mayat lelaki yang ditemui orang ramai di Jalan Gombak Lama, di sini, jam 3.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, siasatan menemui kesan kecederaan teruk pada leher mangsa dipercayai dipukul menggunakan objek keras sebelum dicampak dari atas tebing.

“Ketika ini kami menjalankan siasatan sama ada mangsa dibunuh di lokasi lain sebelum dibuang.

“Lokasi kejadian dua kilometer dari Bulatan Genting Sempah melalui Jalan Gombak Lama,” katanya.

Beliau berkata, identiti mangsa berusia lewat 30-an masih belum dikenal pasti berikutan tiada dokumen pengenalan diri ditemui.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Negeri Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan meminta bantuan mengambil mayat jam 3.35 petang.

“Seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang bergegas ke lokasi. Mayat lelaki ditemui di tebing curam dengan kedalaman mencecah 10 meter,” katanya.

Disiarkan pada: October 10, 2017 @ 4:00am
d