mutakhir

Selamba guna lambang istana

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Seorang ahli perniagaan didenda RM400 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam terhadap kesalahan mempamerkan lambang Istana Negeri Selangor pada keretanya tanpa tauliah.

Tertuduh, Amin Alli, 56, mengaku bersalah selepas tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abdul Wahid.

Jika gagal bayar, mahkamah memerintahkan tertuduh dikenakan hukuman penjara empat hari.

Amin didakwa mengunakan lambang itu pada kereta Porsche Cayenne S bernombor pendaftaran LF955 miliknya. Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di tempat letak kenderaan Hotel Concorde dekat sini, pada 28 September lalu.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 8(1)(a), Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Terhadap Pameran) 1949 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM500 atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Noorelynna Hanim Abd Halim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Amin dalam rayuannya memohon dikenakan hukuman ringan dengan alasan tidak mengetahui perbuatan dilakukan itu menyalahi undang-undang.

Noorelynna bagaimanapun memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal supaya tertuduh tidak memandang ringan perbuatannya.

Disiarkan pada: October 10, 2017 @ 4:08am
d