mutakhir

Pendaftaran tahfiz lepas pemeriksaan bomba

Oleh HM Digital

Putrajaya: Urusan berkaitan pendaftaran sekolah tahfiz hanya akan dilaksanakan kerajaan selepas pemeriksaan terhadap aspek keselamatan sekolah berkenaan selesai dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya dimaklumkan JBPM sudah memeriksa 932 sekolah tahfiz di seluruh negara dan laporan mengenai hasil pemeriksaan itu perlu diperoleh terlebih dulu sebelum ke peringkat seterusnya.

Menurutnya, bagi peringkat pertama soal keselamatan sekolah tahfiz diberi keutamaan terlebih dulu seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini.

“Jadi, kita perlu dapatkan laporan mengenai tahap keselamatan, apabila dah siap (laporan) dan perbaiki dulu hal berkaitan keselamatan yang membabitkan bomba seperti pendawaian semula dan sebagainya.

“Selepas itu baru kita pergi ke fasa kedua, bab berkaitan kurikulum dan lain-lain. Itu belum dibincangkan lagi sebab kita nak selesaikan dulu (aspek keselamatan) kerana Perdana Menteri pernah maklum tak guna bincang pasal kurikulum dan sebagainya jika keselamatan murid sendiri ada masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) Sehari@Prasekolah di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 17 (1) di Putrajaya semalam.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Seri Alias Ahmad, Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya (JPWPP) Roani Jaafar dan Guru Besar SKPP 17 (1) Rohani Ahmad.

Disiarkan pada: October 10, 2017 @ 5:23am
d