mutakhir

Indeks ukur tahap psikologi

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Satu indeks khusus dikenali Indeks Kesejahteraan Psikologi Malaysia perlu diwujudkan bagi mengukur tahap kesejahteraan psikologi rakyat di negara ini.

Perkara itu dicadangkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap merasmikan Persidangan Psikologi Modal Insan 2017 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam.

Menurutnya, beliau juga mahu golongan cendekiawan yang ada dalam perkhidmatan awam dan tenaga pakar sedia ada untuk membangunkan Terma Rujukan (TOR) serta parameter bersesuaian bagi menyukat tahap kesejahteraan psikologi rakyat.

“Saya menyarankan agar kaedah tertentu diperkenalkan untuk menilai tahap kesihatan mental setiap modal insan di negara ini.

“Ia penting bagi memastikan jentera tenaga kerja yang menyumbang kepada pembangunan negara diisi dengan individu yang berfikiran positif, matang, pemikiran kreatif dan inovatif serta ampuh berdepan cabaran semasa,” katanya.

Ahmad Zahid turut berharap perkhidmatan psikologi dalam pengurusan modal insan negara ini terus diperkasa bagi memastikan keseimbangan fizikal, emosi, tingkah laku dan kerohanian warga kerja di negara ini berada pada tahap terbaik.

Beliau berkata, keseimbangan ini amat penting dimiliki oleh setiap modal insan bagi membolehkan mereka memberi sumbangan terbaik kepada negara.

Menurutnya, modal insan bertaraf dunia boleh dicapai sekiranya setiap tenaga kerja di negara ini mempunyai minda dan keinginan untuk mencapai kecemerlangan, disaluti etika luhur dan mengamalkan budaya berpencapaian tinggi.

Selain itu katanya, kepentingan aspek kesihatan mental perlu sentiasa diberi perhatian khusus berikutan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada 2015 mendapati masalah kesihatan mental dalam kalangan masyarakat berusia 16 tahun dan ke atas ialah pada kadar 29.2 peratus iaitu membabitkan 4.2 juta orang.

Disiarkan pada: October 10, 2017 @ 5:33am
d