mutakhir

Sondol lori babi

Oleh Mohd Hilmie Hussin

Alor Gajah: Sepasukan petugas Projek Penyelenggaraan Lebuhraya Berhad (PROPEL) mengambil masa lebih tiga jam untuk menangkap dan memindahkan sekumpulan 14 babi selepas lori membawa ternakan itu terbalik selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah Proton Gen.2 di Kilometer 198 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran Plaza Tol Ayer Keroh, di sini, semalam.

Difahamkan, kemalangan berlaku jam 7.30 pagi itu selepas Proton Gen.2 dari arah sama melanggar belakang lori berkenaan menyebabkan pemandunya hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan dan terbalik.

Pemandu lori terbabit, Tee Yu Peng, 58, berkata, dia ditemani isteri, Tan Bee Chin, 55, dalam perjalanan dari Kluang, Johor untuk menghantar ternakan terbabit kepada pelanggan di Senawang, Negeri Sembilan.

“Sepanjang perjalanan saya memandu di lorong kiri, memang tak laju cuma 70 kilometer sejam sahaja, tetapi tiba-tiba lori bergegar macam ada benda sondol. Dalam sekelip mata saya hilang kawalan ke bahu jalan dan lori masuk ke dalam longkang.

“Ketika itu saya cuba kawal lori daripada terbalik, namun Proton Gen.2 berkenaan tiba-tiba memotong dengan laju dan menghimpit lori dan akhirnya kedua-dua kenderaan terbabas ke bahu jalan lalu terbalik,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.

Akibat kemalangan itu, Tee mengalami sakit pada bahu manakala isterinya pula cedera di kepala, namun dia berasa lega kerana kecederaan dialami mereka tidak serius dan tiada ternakan yang mati.

Menurutnya, sejurus kemalangan dia menghubungi pengurusnya yang kemudian menghantar sebuah lori gantian untuk menghantar ternakan berkenaan kepada pelanggan.

“Pada masa sama, saya juga pantau pergerakan ternakan jika ada yang berkeliaran atas lebuh raya kerana risau dilanggar kenderaan lain, tetapi mujur kakitangan PROPEL tiba tidak lama kemudian dan terus membantu usaha memindahkan babi berkenaan,” katanya.

Katanya, dua lelaki dan seorang wanita yang berada di dalam Proton Gen.2 turut mengalami kecederaan dan mereka dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans untuk diberi rawatan kecemasan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan A Asmadi Abdul Aziz berkata, pemandu kereta berusia 18 tahun yang juga pelajar kolej hanya cedera di kepala, manakala dua sahabatnya tidak cedera.

Disiarkan pada: October 10, 2017 @ 5:49am
d