mutakhir

Tahfiz berapi

Oleh Faliq Lajim

Klang: “Kami menyangka bau asap itu sampah yang dibakar jiran berdekatan, namun terkejut apabila mendengar jeritan ‘api, api, api sebelum segera menyelamatkan diri,” kata Ahmad Sudais Noor Azmi, 16.

Semalam, dia bersama 22 pelajar dan dua pengajar menempuh detik cemas apabila asrama penginapan mereka di tingkat dua Pusat Pengajian dan Tahfiz Nur Al-Quran, Rantau Panjang di sini, musnah dalam kebakaran.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, semua pelajar berusia 10 hingga 19 tahun berada dalam kelas di tingkat bawah dan sempat keluar menyelamatkan diri dari pusat berkenaan.

Ahmad Sudais berkata, ketika kejadian, dia dan rakan lain berada dalam kelas untuk subjek Pengajian al-Quran.

“Sebaik menyedari kejadian itu, kami cuba memadamkan kebakaran dengan alat pemadam api tetapi gagal sebelum segera keluar menyelamat diri.

“Jiran berdekatan turut membantu mengeluarkan beberapa tong gas yang diletakkan di dapur dan bersyukur kerana semua selamat,” katanya ketika ditemui Harian Metro di tempat kejadian.

Bekas pelajar yang kini menjadi pengajar pusat tahfiz itu, Muhd Khoirun Nazim Jamri, 19, berkata, ketika kejadian mereka sedang menjalani sesi pembelajaran dalam kelas.

“Tidak lama kemudian, jiran memaklumkan ternampak asap di tingkat atas. Saya kemudian mengarahkan semua pelajar keluar ke kawasan selamat,” katanya.

Difahamkan, seramai 25 pelajar dan dua pengajar tinggal di pusat tahfiz yang sudah beroperasi sejak empat tahun lalu. Dua daripada pelajar bagaimanapun pulang ke kampung mereka.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang Zaidi Atan berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 2.43 petang.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, kami mendapati api sudah marak dan segera menjalankan operasi pemadaman. Api berjaya dipadamkan kira-kira 10 minit kemudian.

“Hasil siasatan awal mendapati kebakaran membabitkan empat bilik yang menempatkan asrama pelajar lelaki,” katanya.

Menurutnya, api merebak cepat berikutan bahan mudah terbakar seperti tilam dan kain berada dalam semua bilik.

“Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: October 10, 2017 @ 5:50am
d