mutakhir

Hilang ketika ukur sempadan

Oleh Ramli Ibrahim

LELAKI berusia 63 tahun hilang di Hutan Simpan Lebir, Kampung Aring 8, Gua Musang selepas meninjau kawasan itu untuk dibuat sempadan, semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 petang, mangsa dikenali sebagai Akok disedari hilang oleh dua penduduk Orang Asli yang menemaninya.

Orang Asli terbabit, Pandu Amat, 45, berkata, dia bersama mangsa dan anak lelakinya, Azerin, 20, memasuki kawasan hutan itu kira-kira jam 2.30 petang dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat jenis Toyota Hilux.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, dia dan mangsa berpecah untuk meninjau kawasan hutan terbabit.

"Selepas meninjau kawasan itu, saya dan anak berjalan semula ke kenderaan yang ditinggalkan sejauh 3 kilometer.

"Bagaimanapun sebaik tiba, saya dapati mangsa masih belum tiba dan terpaksa menunggu hingga malam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, semua barang milik mangsa masih berada di dalam kenderaan pacuan empat roda itu.

"Selepas usaha mencari mangsa gagal, saya membuat laporan di Balai Polis Paloh pada 8.36 malam tadi (semalam)," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang Anuar Abas berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian terbabit pada 10 malam, semalam.

"Tiga anggota bomba bersama anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan polis melancarkan gerakan mencari mangsa bermula jam 10.10 pagi ini.

"Bagaimanapun sehingga kini, mangsa masih belum ditemui," katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gua Musang Deputi Superintendan Abdullah Daud ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan operasi mencari sedang dijalankan.

Disiarkan pada: October 10, 2017 @ 12:52pm
d