mutakhir

12 penagih dadah ditahan

Oleh Norizuan Shamsuddin

AGENSI Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menahan 12 lelaki hasil serbuan di sekitar Keramat, Kuala Lumpur bermula jam 10 malam tadi hingga hari ini.

Pengarah AADK Datuk Dr Abd Halim Hussein berkata, kesemua suspek berusia 19 hingga 58 tahun ditahan menerusi Op Selamat yang dijalankan bagi mengesan penagih dadah untuk diberikan rawatan.

Katanya, menerusi operasi itu, seramai 25 pegawai dan anggota dikerahkan menyerbu beberapa lokasi penagihan membabitkan Flat Sri Perlis, Kampung Datok Keramat, Keramat AU2 serta AU3.

"Operasi secara berkala ini diadakan susulan aduan dan keresahan penduduk berhubung penyalahgunaan dadah di kawasan terbabit berikutan kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

"Hasil operasi itu, seramai 16 individu diarahkan bagi menjalani saringan air kencing dan hasilnya 12 lelaki dikesan positif dadah jenis ganja, heroin dan syabu,” katanya pada sidang media di AADK Sentul, di sini, hari ini.

Menurutnya, kesemua suspek ditahan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Disiarkan pada: October 10, 2017 @ 2:14pm
d