mutakhir

Gelandangan dipenjara empat tahun

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

SEORANG gelandangan dihukum penjara empat tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini, atas pertuduhan memiliki 13 video dan lapan imej di dalam telefon bimbit miliknya yang berkaitan perbuatan kumpulan pengganas Daish, April lalu.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak menjatuhkan hukuman itu terhadap Hasbullah Hassan, 38, selepas tertuduh mengaku salah sebaik saja pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mahkamah memerintahkan hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 29 Januari lalu.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Mohd Sofian menasihati tertuduh supaya insaf dan berubah selain berharap selepas keluar dari penjara, tertuduh menjadi manusia berguna pada agama, bangsa dan negara.

Mengikut pertuduhan, Hasbullah didakwa memiliki 13 video dan lapan keping gambar berkaitan Daish yang disimpan di dalam galeri telefon bimbitnya di perkarangan bangunan HSBC, Lebuh Ampang, pada 12.20 tengah hari, 29 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana bahan itu.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah memberikan hukuman yang ringan atas alasan dia menderita ketumbuhan di saraf tunjangnya.

"Saya seorang duda yang mempunyai dua anak dan masih mempunyai ibu bapa yang kini tinggal dengan abang saya di Negeri Sembilan.

"Saya tak tahu memiliki item ini di dalam telefon bimbit menjadi satu kesalahan. Selepas ditangkap polis, baru saya tahu mengenai perkara itu dan ia menjadi pengajaran buat saya untuk tidak mengulangi lagi kesalahan ini," rayunya.

Timbalan Pendakwa Raya Munirah Shamsudin @ Baharum bagaimanapun memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal kepada tertuduh dengan mengambil kira kesalahan seumpama itu jika tidak dicegah akan menjadi barah yang akan merosakkan masyarakat.

Berdasarkan fakta kes, ketika ditangkap polis, didapati dalam milikan tertuduh sebuah telefon bimbit jenama Samsung berwarna putih dengan nombor telefon didaftarkan atas namanya.

Hasil siasatan mendapati, terdapat 13 video dan lapan imej di dalam telefon bimbit itu mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Daish.

Disiarkan pada: October 10, 2017 @ 3:04pm
d