mutakhir

Semoga berjaya!

Oleh Rosliza Mohamed

JABATAN Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan menyasarkan seramai 253 calon yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Kota Bharu pada November ini memperoleh A+.

Timbalan Pengarahnya, Muhammad Zahari Othman berkata, sasaran itu ditetapkan susulan keputusan cemerlang peperiksaan percubaan SPM pada September lalu.

Katanya, menjadi harapan JPN supaya pelajar terbabit memperoleh keputusan cemerlang bagi melonjak Indeks Petunjuk Utama (KPI) Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu dan PPD lain.

"Kita menjalankan pelbagai program termasuk menganjurkan kem motivasi untuk menaikkan semangat pelajar dan mengadakan seminar berkaitan mata pelajaran seperti Fizik, Sains dan Matematik pada setiap Jumaat dan Sabtu dengan guru terbaik bermula Mac lalu sehingga awal November ini.

"Kita berharap calon terbabit menyahut cabaran dengan mendapat keputusan lebih cemerlang SPM," katanya selepas Majlis Himpunan Pelajar Cemerlang SPM Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Pejabat PPD membabitkan 86 pelajar di Jalan Telipot, Kota Bharu, hari ini.

Menurutnya, pada tahun lalu, seramai 176 pelajar mendapat semua A bagi PPD ini.

Sementara itu, calon pelajar SPM terbaik Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat, Nur Firas Alian Qistina Hamat SMK Naim, 17, akan membuat yang terbaik untuk memperoleh 11A+ dalam peperiksaan nanti.

"Pelbagai usaha dilakukan termasuk memberi fokus di dalam kelas, membuat ulangkaji berkumpulan dengan lebih kerap.

"Saya turut mengikuti kelas tambahan berbayar pada hujung minggu," katanya yang bercita-cita menjadi Ahli Farmasi.

Disiarkan pada: October 10, 2017 @ 3:26pm
d