mutakhir

Reman bapa tiri disambung

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

PERINTAH tahanan reman ke atas bapa tiri kanak-kanak lelaki yang dirantai Khamis lalu, disambung tiga hari bermula hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Senior Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata, tahanan reman ke atas suspek berusia 32 tahun itu dilanjutkan hingga Khamis ini bagi membolehkan pihaknya melengkapkan kertas siasatan.

“Permohonan untuk sambung reman ke atas lelaki berkenaan sudah diberi majistret hari ini. Siasatan masih diteruskan sebelum proses selanjutnya dilakukan,” katanya ketika dihubungi di Kuantan, hari ini.

Dalam kejadian Khamis lalu, kanak-kanak berkenaan ditemui di sebuah rumah di Indera Mahkota 1, Kuantan dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh anggota polis.

Kanak-kanak itu dirantai pada tong gas seberat 25 kilogram.

Ekoran kejadian itu, bapa tiri mangsa yang juga anggota tentera di Kem Batu 10 Jalan Gambang, Kuantan ditahan dan direman bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang Zulkhairi Zainol Abidin berkata, pihaknya sedia melaksanakan saranan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim untuk memberikan khidmat kaunseling kepada keluarga mangsa.

Beliau berkata, kaunselor dari JKM Pahang bersama kakitangan JKM negeri juga sudah ke rumah keluarga itu sejak minggu lalu dan kunjungan itu akan diteruskan dari semasa ke semasa sehingga emosi keluarga berkenaan pulih sepenuhnya.

"Kami (JKM) difahamkan ibu kandung mangsa masih trauma dengan insiden itu, kami akan terus memberikan khidmat kaunseling kepada mereka sehingga semuanya pulih seperti sedia kala.

"Kami juga bersetuju dengan pandangan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Samsuddin yang mahu keluarga ini tidak diganggu, mereka perlukan masa untuk pulih dan saya harap masyarakat setempat (jiran) juga memberikan kerjasama," katanya.

Berita berkaitan:

Keadaan tiga beradik lain disiasat

Ingin jumpa bapa kandung

Tergamaknya ibu...

Nak mendidik atau menyeksa?

Disiarkan pada: October 10, 2017 @ 3:39pm
d