mutakhir

Kerusi jadi tongkat

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

WARGA emas wanita yang mengalami masalah sakit lutut terpaksa menjadikan kerusi sebagai tongkat untuk menyelamatkan diri dalam kebakaran membabitkan dua rumah di Kampung Kok Keli, Tumpat, malam tadi.

Dalam kejadian 11.30 malam itu, Wan Safiah Wan Ahmad, 80, sempat keluar daripada rumah itu melalui pintu hadapan.

Anaknya, Wan Zainuddin Wan Hassan, 57, yang cuba menyelamatkan ibunya, cedera ringan di kedua-dua kaki selepas terpijak lantai panas.

Wan Safiah berkata, sebelum kejadian dia berada di dalam bilik untuk tidur sebelum terhidu bau asap.

"Kemudian, makcik keluar dan melihat api sudah menyambar dinding di bahagian dapur.

"Melihat keadaan api yang semakin merebak, makcik mengambil kerusi sebagai tongkat untuk keluar dari rumah menerusi pintu hadapan.

"Makcik tidak sempat selamatkan barang lain, kerana api merebak dengan cepat," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Sementara itu, Wan Zainuddin yang tinggal bersebelahan rumah ibunya berkata, dia terhidu bau asap sebelum terdengar ibunya meminta pertolongan.

"Saya cuba memecahkan pintu belakang untuk menyelamatkan ibu sehingga tidak menyedari kaki melecur akibat terpijak lantai panas.

"Dalam fikiran saya ketika itu adalah untuk menyelamatkan ibu tanpa menyedari ibu sudah keluar menerusi pintu hadapan," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Penolong Penguasa Bomba, Wan Baijuri Wan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan pada 12.02 tengah malam daripada orang awam.

Katanya, seramai 14 anggota daripada BBP Tumpat dan Pengkalan Kubor dengan tiga jentera dikejarkan ke tempat kejadian.

"Kita mengambil masa sejam untuk mengawal kebakaran dan api dapat dipadamkan sepenuhnya 3.13 pagi tadi.

"Kerugian dianggarkan sebanyak RM270,000 dan punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Disiarkan pada: October 10, 2017 @ 4:36pm
d