mutakhir

Lapor jika minyak masak tak cukup

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

PENIAGA dan peruncit yang mempunyai masalah bekalan minyak masak tidak mencukupi diingatkan untuk membuat laporan ke Pejabat Perdagagan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) bagi membolehkan tindakan diambil.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong berkata, pihaknya menerusi PPDNKK akan sentiasa memastikan bekalan minyak masak di negeri ini mencukupi dengan pegawai PPDNKK yang akan memeriksa setiap keperluan bahan itu.

"Kalau peniaga dan peruncit terdapat bekalan yang tidak mencukupi, kita minta jasa baik mereka melaporkan di pejabat-pejabat PDNKK. Kita ada tujuh daerah dan semua ada PPDNKK.

"Laporkan pada mereka, kita akan jalankan siasatan dan akan pastikan keperluan bekalan mencukupi," katanya ketika sidang media selepas merasmikan pembukaan Impiana Hotel Senai di Senai, Johor, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga tidak ada menerima sebarang laporan berhubung bekalan minyak masak yang dikatakan terpaksa dihadkan pembeliannya kerana tidak mencukupi.

Hari ini, Harian Metro melaporkan pengurus stor Pasaraya Aeon Big Kluang, Abdul Manap Hassan yang memberitahu pihaknya terpaksa menghadkan penjualan minyak masak satu kilogram sebanyak dua paket untuk sebuah keluarga sehari sejak enam bulan lalu berikutan krisis yang melanda bahan itu.

Tindakan itu didakwa terpaksa dilaksanakan bagi mengelakkan pembelian secara pukal oleh pembeli yang hanya akan menyebabkan bekalan cepat kehabisan, manakala menyebabkan pelanggan lain tidak berpeluang untuk mendapatkannya.

Semalam, Menteri PDNKK, Datuk Seri Hamzah Zainudin turut memberi keyakinan bahawa bekalan minyak masak paket itu mencukupi kerana tidak menerima sebarang laporan berhubung berlakunya catuan atau kekurangan bahan berkenaan.

Beliau berkata, sekiranya ada laporan tentang perkara sedemikian, siasatan perlu dilakukan terlebih dahulu bagi memastikan tiada pengusaha minyak masak yang melakukan sesuatu menyalahi undang-undang.

Disiarkan pada: October 10, 2017 @ 5:09pm
d