mutakhir

Kad Touch 'n Go-TN50 edisi terhad

Oleh Idris Musa

TOUCH ‘n Go Sdn Bhd (TNGSB) melancarkan kad edisi terhad terbaru 'TNG - TN50' sempena majlis sesi dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) di Bangsar South, Kuala Lumpur, hari ini.

Pelancaran itu disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif TN50, R Effendi Razali dan Ketua Pegawai Eksekutif TNGSB, Syahrunizam Samsudin.

Kad edisi terhad 'TNG - TN50' ini adalah hasil kerjasama strategik antara TNGSB dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam usaha mengadaptasikan aspirasi generasi muda yang dilambangkan melalui kad pintar pelbagai guna Touch 'n Go.

Ia seiring dengan visi TNGSB sebagai salah satu pemangkin dalam menyokong agenda nasional negara ke arah merealisasikan masyarakat tanpa tunai.

Kad edisi terhad itu mempunyai ciri sama dengan kad Touch 'n Go lain yang membolehkan orang ramai menggunakannya sebagai mod e-pembayaran di plaza tol, rangkaian pengangkutan awam, tempat letak kereta dan premis peruncitan.

Mengenai pengeluaran kad itu, Syahrunizam berkata, kad 'TNG -TN50' dikeluarkan dalam bentuk eksklusif bertemakan aspirasi TN50 yang akan berada di pasaran mulai November 2017.

"Kad ini boleh didapati di hab Touch 'n Go di Bangsar South, NU Sentral - KL Sentral dan Wisma Nufri, Johor Bahru serta melalui pesanan dalam talian di lazada.com.

"Ia akan dijual pada harga RM15 setiap satu," katanya.

Disiarkan pada: October 10, 2017 @ 6:18pm
d