mutakhir

Lemas terjatuh dari perahu

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

REMAJA lelaki ditemui lemas selepas terjatuh dari perahu ketika bermain di tebingan sungai berhampiran Kampung Tengah, Dalat di Mukah, petang hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa yang berusia 13 tahun itu bermain bersama beberapa rakannya di kawasan berkenaan sebelum perahu bergoyang.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, mangsa ditemui penduduk kampung yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) jam 5.38 petang hari ini.

Menurutnya, mangsa ditemui tidak jauh dari lokasi terakhir dia dilaporkan hilang.

"Berdasarkan laporan awal, mangsa bersama tiga rakannya bermain di atas perahu di sungai berkenaan hari ini.

"Namun, perahu tiba-tiba bergoyang sebelum mangsa jatuh ke dalam sungai seterusnya hilang dari pandangan," katanya.

Menurutnya, pasukan bomba dimaklumkan mengenai kejadian itu selepas menerima panggilan dari anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dalat jam 4.17 petang.

"Sebaik menerima panggilan kecemasan, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah dikejarkan ke lokasi kejadian untuk operasi SAR," katanya.

Katanya, mayat remaja terbabit kemudiannya diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Hospital Mukah.

Disiarkan pada: October 10, 2017 @ 7:36pm
d