mutakhir

Termakan pujukan rakan

Oleh Norizuan Shamsuddin

Kuala Lumpur: “Tolonglah encik! saya orang kurang upaya (OKU). Jangan tahan saya,” itu alasan diberikan seorang lelaki berusia 58 tahun sejurus diberkas sepasukan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sentul awal pagi semalam.

Lelaki itu yang sudah menagih dadah sejak 40 tahun lalu turut menunjukkan kad OKU kepada anggota penguat kuasa AADK sebaik ditahan melalui Op Keramat bermula jam 10 malam kelmarin hingga 4 petang semalam.

Lelaki terbabit antara 12 individu yang ditahan hasil operasi di sekitar Keramat membabitkan beberapa lokasi antaranya Flat Sri Perlis, Kampung Datuk Keramat, AU2 serta AU3 di sini.

Ketika disoal wartawan Harian Metro, lelaki yang mahu dikenali sebagai Azman itu memaklumkan dia disahkan OKU kategori saraf pinggang serta pernah lumpuh selama dua tahun bermula tahun 2012.

“Saya sudah berhenti sejak lima bulan lalu tapi akhirnya termakan pujukan kawan. Kami menghisap ganja di tangga pagi tadi (semalam) sebelum dicekup AADK.

“Sebelum ini saya pernah ditahan di Pusat Serenti Dengkil selama sembilan bulan kerana positif ganja dan tidak menyangka hari ini (semalam) tertangkap lagi,” katanya ketika ditemui di Pejabat AADK Sentul, di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Pengarah AADK Datuk Dr Abd Halim Hussein berkata, operasi dijalankan bagi mengesan serta membawa penagih atau individu yang terbabit dengan dadah mendapat rawatan.

“Ujian air kencing yang dijalankan mendapati 12 individu positif dadah jenis ganja, heroin dan syabu

“Semua suspek berusia 19 hingga 58 tahun terbabit ditahan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya ketika ditemui semalam.

Disiarkan pada: October 11, 2017 @ 5:23am
d