mutakhir

Untung haram RM883j

Oleh Garret Dawum

Kuala Lumpur: Keuntungan yang diperoleh laman sesawang haram seperti laman seks, perjudian, malware dan penipuan menerusi iklan sangat membimbangkan dan perkara itu harus dibendung serta disekat.

Pengerusi Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), Datuk Ahmad Izham Omar berkata, tindakan pengiklan membayar pemilik laman sesawang itu menunjukkan mereka seolah-olah menyokong kegiatan haram.

“Kajian menunjukkan 73 peratus iklan arus perdana seperti produk penjagaan diri, telekomunikasi dan barang keperluan harian didapati banyak diiklankan di laman sesawang haram.

“Malah, pemilik laman sesawang haram dianggarkan mengaut keuntungan lebih RM883.62 juta (AS$209 juta) daripada iklan. Sebagai komuniti dalam pengiklanan, kami mahukan pengiklan kembali kepada laman sesawang yang sah,” katanya ketika ditemui selepas Forum Kandungan Cetak Rompak, di sini, semalam.

Forum sehari itu membincangkan Kandungan Cetak Rompak Di Asia Pasifik dan Program Sekatan Laman Sesawang Haram (IWL).

Menurut Ahmad Izham, beliau menyokong pelaksanaan IWL sebagai inisiatif membantu komuniti pengiklan dan kreatif mengurangkan perbelanjaan iklan kepada laman sesawang haram.

“IWL akan membabitkan program kenal pasti laman sesawang haram popular di Malaysia, memberi senarai laman sesawang haram kepada pengiklan dan usaha membuang iklan di dalam laman sesawang itu.

“Program ini membantu mengurangkan pendapatan kepada operasi aktiviti jenayah dan meningkatkan hak cipta dalam talian serta ekosistem digital yang seimbang.

“Inisiatif ini berdasarkan operasi kreatif United Kingdom diketuai Unit Jenayah Harta Intelektual Polis (PIPCU) pada 2014,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, analisis oleh Alexa Data pada Ogos 2017 menunjukkan rakyat Malaysia gemar melayari laman sesawang yang mempunyai kandungan cetak rompak.

Disiarkan pada: October 11, 2017 @ 5:28am
d