mutakhir

Terkejut ular belalai gajah popular [METROTV]

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

“SAYA tidak sangka dan terkejut apabila video ular yang keluar dari lubang tandas rumah kami yang dirakam menjadi tular sehingga dikongsi sebuah portal berita di luar negara sedangkan pada mulanya ia hanya untuk perkongsian ahli keluarga," kata Zulaikha Hannani Md Zuki, 19, yang merakam video ular belalai gajah dianggarkan sepanjang dua meter dan seberat 20 kilogram keluar dari lubang tandas di rumahnya di Kampung Telaga Jambu, Pida 1, Megat Dewa, Kodiang.

Video berdurasi 18 saat itu yang dirakam Jumaat lalu menjadi tular di media sosial selepas dimuat naik abangnya, Mohd Zularif Md Zuki, 23, di laman Facebook (FB) hingga turut dikongsi portal berita Dailly Mail, semalam.

Zulaikha berkata, kejadian itu disedari mereka kira-kira 8 malam, Jumaat lalu, ketika Mohd Zularif masuk ke dalam tandas sebelum menyedari kehadiran ular terbabit.

Menurutnya, tidak lama kemudian, ular itu terus keluar dari lubang tandas dan abangnya meminta dia mengambil gambar namun kerana kualiti gambar tidak elok menyebabkan dia membuat keputusan untuk merakam video.

"Video itu pada mulanya hanya dikongsi dalam group WhatsApp keluarga namun tidak sangka ia tular hingga ke luar negara.

"Perasaan terkejut dan teruja pun ada apabila mendapat tahu video yang diambil saya dikongsi di portal berita luar negara itu," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Katanya, sebelum kejadian itu, dia juga ada masuk ke dalam tandas namun tidak menyedari kehadiran ular terbabit.

Sementara itu, ibunya, Che Putih Hassan, 49, berkata, ketika kejadian berkenaan, dia sedang menjaga cucunya sebelum terkejut apabila diberitahu anak mengenai ular terbabit sebelum bergegas ke tandas.

“Suami saya, Md Zuki Yaakob dan anak-anak terpaksa menggunakan guni dan pencangkuk untuk menangkap ular itu dan mengambil masa setengah jam untuk memasukkannya ke dalam guni.

"Ular itu dipercayai datang dari sungai berhampiran rumah dan masuk ke dalam saluran paip tandas sebelum keluar melalui lubang berkenaan," katanya.

Che Putih berkata, dia tidak menyangka ular itu yang agak besar boleh melalui saluran paip yang kecil dan masih trauma dengan kejadian terbabit.

"Peristiwa ular sawa masuk ke dalam rumah dua tahun lalu pun masih belum dapat dilupakan dan terbaru ular ini pula yang masuk ke dalam rumah.

"Sebelum ini ular sawa juga keluar melalui lubang tandas dan kejadian itu menyebabkan saya trauma sehingga kini," katanya.

Menurutnya, ular itu dibuang semula ke dalam sungai, Ahad lalu.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Kedah Muhammad Ali Che Aman yang dihubungi mengesahkan ular terbabit adalah ular belalai gajah.

Disiarkan pada: October 11, 2017 @ 3:48pm
d