mutakhir

'Alhamdulillah, saya lega...'

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

“SAYA bersyukur dengan keputusan mahkamah ini. Saya sedia menggalas tanggungjawab menjaga anak saya dengan baik.”

Itu kata bapa kandung kepada kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang dirantai bapa tirinya Khamis lalu.

Dia yang enggan namanya disiarkan berkata, dia bersyukur dengan perintah yang dikeluarkan mahkamah hari ini.

Menurutnya, walaupun ia perintah penjagaan sementara namun sudah cukup membuatnya menarik nafas lega selepas memikirkan nasib yang menimpa anaknya sebelum ini.

“Alhamdulillah. Saya bersedia menjaga anak-anak kerana sebelum ini dua daripada tiga anak dengan bekas isteri tinggal bersama saya di Melaka.

“Namun, tiga tahun lalu, bekas isteri mengambil mereka semula tanpa pengetahuan saya ketika berada di asrama sebuah sekolah tahfiz," katanya ketika ditemui di pekarangan mahkamah, hari ini.

Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Kuantan, hari ini, memerintahkan hak penjagaan sementara diserahkan kepada bapa kandung mangsa yang berusia 36 tahun berkuat kuasa hari ini.

Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman memutuskan perintah jagaan sementara selama sebulan sebelum perintah kekal dikeluarkan selepas meneliti dokumen yang akan dikemukakan pegawai pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuantan dalam tempoh itu.

Dia yang juga penyelia sebuah premis cuci kenderaan akan membawa anak ketiganya ke Melaka hari ini selepas selesai beberapa urusan di Kuantan.

"Anak lelaki saya yang sulung akan bersekolah di Kuantan dan sedia tinggal bersama saya selepas selesai peperiksaan,” katanya.

Berita berkaitan:

Bapa kandung dapat hak penjagaan

Keadaan tiga beradik lain disiasat

Ingin jumpa bapa kandung

Tergamaknya ibu...

Nak mendidik atau menyeksa?

Disiarkan pada: October 11, 2017 @ 3:48pm
d