mutakhir

Meninggal selepas potong rumput

Oleh Ahmad Ismail

SEORANG kakitangan penyelenggaraan Jabatan Kerja Raya (JKR) Segamat meninggal dunia dipercayai akibat sakit jantung ketika berehat di pondok bas selepas memotong rumput di hadapan Balai Polis Buloh Kasap, Segamat jam 10.40 pagi tadi.

Azemi Ahamad, 51, dikatakan duduk di bangku pondok berkenaan selepas memotong rumput di kawasan berkenaan sebelum tiba-tiba jatuh tersembam di lantai dan tidak sedarkan diri.

Saksi kejadian yang juga Pegawai Penguat Kuasa Majlis Daerah Segamat (MDS), Jaini Kardi, 51, berkata, dia kebetulan melalui lokasi kejadian ketika melakukan tugasan rondaan rutin dan melihat Azemi terbaring diatas lantai pondok bas itu.

Katanya, pada masa sama beberapa rakan sekerja lelaki itu turut berada di sisinya dan sempat membisikkan dua kalimah syahadah di telinga Azemi yang tidak sedarkan diri itu.

"Ketika itu Azemi dilihat masih bernafas dan kelihatan mulutnya bergerak ketika rakan membisikkan kalimah syahadah sebelum menghembuskan nafas terakhir," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Jaini berkata, dia kemudian meminta rakan lelaki itu memaklumkan kepada anggota bertugas di Balai Polis Buloh Kasap yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Raub Selamat ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mangsa yang berasal dari Taman Astaka Jaya, Buloh Kasap itu meninggal dunia akibat serangan sakit jantung.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) namun pihaknya perlu menunggu laporan penuh bedah siasat oleh Jabatan Forensik Hospital Segamat.

Dalam pada itu, isteri mangsa, Siti Zaiyuah Mohammad, 45, berkata arwah suaminya pernah mengadu sakit dada sejak beberapa hari lalu namun enggan ke hospital untuk mendapatkan rawatan walaupun dia disahkan mempunyai penyakit darah tinggi sejak dua tahun lalu.

Katanya, sejak bekerja 17 tahun lalu dengan JKR, arwah jarang mengambil cuti sakit malah sering tidak mahu berbuat demikian kerana tidak mahu membebankan rakan setugas yang terpaksa mengambil alih kerjanya.

"Saya tahu dia tidak sihat tetapi arwah suami seperti tidak mahu mengendahkan kesihatannya dan pergi ke tempat kerja seperti biasa hari ini.

"Kira-kira jam 11 pagi, rakan sekerja arwah datang ke rumah memberitahu suami rebah dan meninggal dunia ketika sedang berehat di pondok bas itu," kata ibu kepada anak perempuan tunggal berusia dua tahun itu.

Kelmarin, arwah suaminya turut menceritakan dia mengalami mimpi pelik apabila didatangi tiga lelaki berbaju putih namun seorang daripadanya tiba-tiba hilang.

Disiarkan pada: October 11, 2017 @ 4:04pm
d