mutakhir

Tak sangka dilanda banjir

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

“AIR naik secara mendadak hingga saya tidak sempat menyelamatkan barangan yang ada di dalam rumah kerana tidak menyangka hujan lebat sejak 5.30 pagi ini menyebabkan rumah pusaka ditenggelami air paras paha,” kata Siti Ajarah Ibrahim, 56, selepas rumahnya di Kampung Tanjung Pauh, Jitra dilanda banjir kilat, hari ini.

Siti Ajarah berkata, dalam kejadian 9 pagi itu, dia bersama suami, Samsudin Haron, 74, dan anak-anak yang berada di rumah terkejut apabila air masuk menyebabkan mereka tidak sempat menyelamatkan barangan.

Menurutnya, barangan perabot, mesin basuh, peti ais, televisyen dan barangan elektrik lain rosak dan tidak boleh digunakan lagi kerana ditenggelami air.

"Ketika banjir melanda Kedah baru-baru ini, kawasan rumah kami tidak terjejas walaupun ketika itu sudah memindahkan barangan ke tempat tinggi kerana bimbang dilanda banjir.

"Namun kali ini kami tidak memindahkan barang kerana menyangka hujan lebat biasa tetapi tidak sangka pula air naik secepat itu," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Samsudin pula mendakwa, sistem perparitan yang tidak diuruskan dengan baik selain kewujudan taman perumahan di belakang rumah menyebabkan kawasan ini mudah dilanda banjir.

"Dulu pun memang ada berlaku banjir namun tidaklah teruk selepas wujudnya taman perumahan itu kerana longkang sedia ada tidak mampu menampung air hujan," katanya.

Sementara itu, Penyelaras Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Kedah Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, satu pusat pemindahan sementara dibuka 2 petang ini di Dewan Kampung Lahar menempatkan 23 orang daripada empat keluarga dari Kampung Perupok dan Kampung Lahar.

Menurutnya, antara kawasan lain turut dilanda banjir kilat ialah Kampung Padang Limau, Kemunting Baru, Batu 13, Taman Idaman, Pekan Jitra, Kampung Lubok Kawah, Kampung Naga, Wang Tepus, Kampung Malau dan Kampung Muhibbah namun air sudah surut di beberapa kawasan.

Disiarkan pada: October 11, 2017 @ 4:14pm
d