mutakhir

Penjenayah paling dikehendaki

Oleh Rosliza Mohamed

POLIS Kelantan memburu seramai 13 penjenayah paling dikehendaki sejak lebih tiga tahun lalu.

Tiga daripada penjenayah itu terbabit dalam kes pembunuhan iaitu Mohd Nasaruddin Abdullah, 23, Syukri Mohd Abiah, 36, dan Saw Kim Sa, 31, manakala seorang lagi dikenali, Ahmad Syazwan Ayub, 21, dikehendaki kerana kes culik.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan Asisten Komisioner Mohd Fakri Che Sulaiman berkata, sembilan lagi suspek ialah Mohd Azmi Azman, 29, atau dikenali Imi Kecik, Roslli Zakaria, 41, atau Lie, Mohamad Nuriezzwan Nur Zukri, 29 atau Ee, Azwan Zainun, 38, atau Iwe Chrome, Mohd Nor Ashmadian Satar, 31, atau Kholid, Zamli Mamat, 28, atau Melek, Zainuddin Zakaria, 31, atau Mat Udin, Mohamad Ideros Nordin, 25, atau Derus dan Muhammad Solleh Zulkimin, 19, atau Soleh.

Menurutnya, semua suspek berpindah randah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Seramai 13 suspek dikehendaki itu juga bijak mengubah wajah bagi mengelirukan polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, hampir 800 daripada 1,086 penjenayah juga dalam buruan pihaknya.

"Siasatan mendapati ada antara suspek bergerak bersendirian, selain mempunyai rekod kesalahan lampau termasuk berkaitan milikan senjata.

"Kita meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat supaya menghubungi balai polis berdekatan," katanya.

Menurutnya, gerakan mengesan suspek masih dilakukan dari semasa ke semasa.

Disiarkan pada: October 11, 2017 @ 4:20pm
d