mutakhir

Kamal pencuri motosikal diburu [METROTV]

Oleh Isma Ismail

LELAKI yang dipercayai terbabit dalam kegiatan curi motosikal adalah antara 51 orang didedahkan wajahnya oleh Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, hari ini.

Kamal Muhammad, 43, beralamat di No 11-2, Kampung Padang, Kemasik, Chukai diburu polis selepas dikenal pasti terbabit dalam kegiatan curi motosikal berkumpulan di sekitar Kemaman.

Selain itu, lelaki berkenaan juga dikehendaki polis kerana disyaki terbabit kejadian rompak berkumpulan serta rompak bersenjata di Kerteh.

Kamal diburu susulan tindakan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman menahan tiga orang termasuk seorang wanita kerana disyaki terbabit dalam kegiatan curi motosikal.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, tiga suspek yang berusia lingkungan 30-an itu ditahan di sekitar Kemaman pada 6 Oktober lalu.

Menurutnya, mereka dipercayai bergerak secara berkumpulan bersama Kamal dan disyaki terbabit dalam beberapa kes curi motosikal.

Katanya, empat motosikal yang didapati sudah diubah nombor casis dipercayai kenderaan curi juga dapat dirampas daripada tiga individu ditahan itu.

"Selain 50 lagi wajah penjenayah yang didedahkan hari ini, saya juga mahu mengesan lelaki ini (Kamal) yang disyaki terbabit dalam kumpulan curi motosikal.

"Saya mahu beri tumpuan lebih kepada usaha membanteras kegiatan curi motosikal kerana ia adalah penyumbang besar kepada indeks jenayah di Terengganu," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini.

Sementara itu, Fazlisyam berkata, seramai 17 lelaki sudah ditahan polis termasuk empat orang menyerah diri selepas wajah mereka didedahkan polis Terengganu sejak 1 Oktober lalu.

Menurutnya, empat lelaki itu masing-masing menyerah diri di IPD Kuala Terengganu, IPD Dungun, IPD Besut dan IPD Marang manakala selebihnya ditahan dalam Op Kesan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu.

Katanya, mereka ditahan bagi membantu polis menjalankan siasatan berkaitan kes rogol, merusuh, mencuri dan samun.

"Selepas dua siri mendedahkan sebahagian daripada lebih 600 orang yang dikehendaki sejak 26 September lalu, kami menerima maklum balas positif termasuk daripada orang awam dengan menyalurkan maklumat berkaitan dengannya.

"Kami masih mengharapkan banyak lagi maklumat dapat disalurkan bagi membantu menyelesaikan kes yang sebahagiannya tertangguh sudah lama.

"Untuk siri ketiga hari ini, kami mendedahkan 51 lagi wajah individu bagi membantu siasatan polis berkaitan dengan jenayah kekerasan dan juga jenayah harta benda," katanya.

Disiarkan pada: October 11, 2017 @ 4:41pm
d