mutakhir

Kesedaran keselamatan siber masih rendah

Oleh Hafiz Ithnin

KASPERSKY LAB (Kaspersky), syarikat keselamatan siber global, terus memberi tumpuan kepada pasaran Asia Pasifik memandangkan kesedaran keselamatan siber masih rendah terutamanya di negara membangun rantau ini.

Kejadian serangan siber terbesar tahun ini, WannaCry menunjukkan serangan digital memerlukan kesedaran yang tinggi daripada pengguna terutama di pasaran negara baru membangun bagi melindungi data peribadi daripada diceroboh.

Pengarah Urusan Asia Pasifik Kaspersky Lab, Stephan Neumeier berkata, Malaysia antara negara di rantau Asia Pasifik yang masih kurang kesedaran dari segi keselamatan siber dalam kalangan pengguna dan pihaknya giat menjalankan aktiviti keselamatan berkenaan.

Contohnya, pihaknya akan melawat sekolah serta badan korporat dan kerajaan bagi membuat sesi perkongsian maklumat, katanya.

Beliau berkata, dari segi perniagaan rantau Asia Pasifik, negara di rantau ini mempunyai potensi besar untuk diterokai dan penting bagi Kaspersky untuk terus memperkenalkan produk perlindungan keselamatan siber terutama pada era kewangan digital ketika ini.

"Buat masa ini, semua peranti elektronik mempunyai sambungan terus dengan Internet atau dikenali sebagai IoT. Perkara ini sememangnya memberi kemudahan kepada konsumer tetapi dalam masa yang sama ia juga memberi ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab menceroboh data pengguna terutama membabitkan kewangan.

"Malah, saya juga percaya angka pencerobohan maklumat menerusi siber juga mampu meningkat dari tahun ke tahun memandangkan semua perkara termasuk berkaitan institusi kewangan telah berkait rapat dengan platform digital," katanya selepas Persidangan Keselamatan Siber (KLACSW) di Phuket, hari ini.

Disiarkan pada: October 11, 2017 @ 6:23pm
d