mutakhir

Jumlah ahli VSP masih rendah

Oleh Faliq Lajim

HANYA 30,000 individu di Selangor mendaftar sebagai ahli Volunteer Smartphone Patrol (VSP) daripada 6.4 juta penduduk negeri itu sejak dilancarkan di seluruh negara pada Mac lalu.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Datuk K Kumaran berkata, jumlah itu masih rendah dan pihaknya berharap rakyat negeri itu mengambil peluang mendaftar sebagai ahli VSP.

Beliau berkata, melalui aplikasi VSP, orang ramai boleh menyalurkan aduan atau maklumat berkaitan jenayah terus kepada polis sama ada melalui gambar, video serta koordinat Sistem Pengesanan Global (GPS).

Menurutnya, maklumat yang dihantar akan terus sampai ke Pusat Kawalan Malaysia (MCC) Bukit Aman sebelum disalurkan ke pusat kawalan daerah.

"Aplikasi ini adalah insiatif baru dalam usaha mewujudkan kolaborasi dan kerjasama strategik antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan masyarakat.

"Jika ahli terlihat kejadian tidak diingini berlaku, mereka boleh mengambil gambar dan video serta terus menghantarnya melalui aplikasi ini," katanya ditemui dalam Program Walkabout dan Raman Mesra di Little India, Klang hari ini.

Mengulas lanjut, Kumaran berkata, ahli tidak perlu takut untuk menyalurkan sebarang maklumat terutama berkaitan jenayah kerana mereka boleh menggunakan nama samaran.

Bagaimanapun katanya, jika ada ahli memuat naik maklumat palsu, pihaknya akan mengambil tindakan.

Selain itu VSP turut menyediakan butang direktori untuk senarai alamat dan nombor telefon ibu pejabat polis kontinjen bagi memudahkan orang ramai mendapatkan matlumat dan perkhidmatan.

Pengguna yang pulang ke kampung juga boleh menyalurkan maklumat kepada polis supaya pihak berkuasa boleh memantau rumah atau membuat rondaan.

Aplikasi itu boleh diperolehi menerusi Google Play Store dan Apple App Store.

Berita berkaitan:

'Jomla... download Smartphone Patrol'

Lapor guna VSP

Kes berkurang

Guna aplikasi VSP maklum polis

Volunteer Smartphone Patrol

Disiarkan pada: October 11, 2017 @ 6:44pm
d