mutakhir

Demi pastikan keselamatan terjamin

Oleh Rosliza Mohamed

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan tiga fasa pemeriksaan bagi memastikan 167 sekolah agama, pondok dan tahfiz di Kelantan mematuhi spesifikasi keselamatan ditetapkan, sebelum laporan dikumpul untuk diserahkan kepada Kabinet, 27 Oktober ini.

Pengarah JBPM Kelantan, Nazili Mahmood berkata, pihaknya sudah memulakan pemeriksaan itu sejak bulan lalu secara berperingkat.

"Kita bahagikan kepada tiga fasa untuk memastikan semua 167 pondok, sekolah agama dan pusat tahfiz sedia ada mematuhi ciri keselamatan dan piawaian yang sudah ditetapkan.

"Dijangka laporan akan siap sebelum akhir bulan ini dan akan diserahkan kepada ibu pejabat untuk pembentangan di Kabinet pada 27 Oktober, nanti.

"Setakat ini, didapati 37 premis tidak mengikut piawaian dan arahan sudah dikeluarkan untuk mereka mematuhinya demi memastikan keselamatan terjamin," katanya ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, hari ini.

Nazili berkata, penambahbaikan semua premis perlu dilakukan pemilik sebelum November ini dan sebarang masalah yang menjejaskan keselamatan penghuni tidak berbangkit.

Katanya, antara aspek keselamatan yang diberi perhatian adalah mempunyai dua laluan keluar masuk dan terdapat sistem keselamatan berkesan seperti alat pemadam api, pili bomba selain sumber air terbuka.

Harian Metro sebelum ini melaporkan JBPM negeri mengadakan gerak gempur bagi memeriksa sekolah agama, pondok dan tahfiz di seluruh negeri.

Pemeriksaan dilakukan selepas kerajaan mengarahkan berbuat demikian termasuk selepas mengadakan pertemuan dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia (PERMATA) Kelantan, bagi membincangkan perkara berkenaan.

Ia juga susulan tragedi kebakaran pada 14 September lalu di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur yang meragut 23 nyawa.

Disiarkan pada: October 11, 2017 @ 8:26pm
d