mutakhir

Bekas model ditahan positif dadah

Oleh Nor Amalina Alias

BEKAS model dan pelakon sambilan antara 30 individu yang ditahan dalam operasi khas kekang penyalahgunaan dadah di Kampung Gunung, Beris Kubur Besar dan Tawang, Bachok bermula 6 petang semalam hingga 8 pagi tadi.

Ketika ditahan, wanita berusia 32 tahun itu sedang tidur dipercayai di bawah pengaruh dadah dan tidak berpakaian di rumah ibunya di Kampung Gunung.

Ketua Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Bachok, Rusdi Yusof berkata, wanita itu juga mengaku mengambil pil kuda sebelum rumah itu diserbu penguat kuasa, kira-kira 1 pagi.

Katanya, dia dikatakan tinggal sendirian selepas ibu bapanya tidak tahan dengan masalah ketagihannya terhadap dadah dan sering meminta wang untuk membeli bahan terlarang itu, manakala anak tunggal wanita itu pula dijaga oleh bekas suami.

“Dalam siasatan, wanita itu mengaku sudah menagih dadah sejak berusia 18 tahun lagi selain pernah menagih syabu ketika bekerja sebagai model di Kuala Lumpur dulu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Selain itu, Rusdi berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 46 tahun dipercayai tokan dadah.

Katanya, lelaki itu antara individu dikehendaki kerana menjual pil kuda sekitar Bachok dengan harga serendah RM5.

“Dia kemudian diserahkan kepada Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok untuk tindakan lanjut,” katanya.

Daripada 30 yang ditahan, 20 daripadanya termasuk wanita terbabit positif dadah dan mereka ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Disiarkan pada: October 11, 2017 @ 10:37pm
d