mutakhir

Patuhi pekeliling penggunaan buku kerja

Oleh Nursyahirah Marzuki

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) menegaskan semua guru besar dan guru perlu mematuhi pekeliling penggunaan buku kerja di sekolah rendah bagi mengelakkan bebanan kepada murid.

Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Chong Sin Woon berkata, pihaknya sudah mengeluarkan 12 pekeliling berkaitan perkara itu sejak tahun lalu, namun masih ada beberapa sekolah yang tidak mematuhi pekeliling berkenaan.

"Pekeliling ini dikeluarkan sebagai garis panduan mengenai penggunaan buku kerja dan ia perlu dipatuhi semua sekolah rendah seluruh negara.

"Saya meminta kementerian untuk melaksanakan perkara ini dengan teliti mulai 2018. Oleh itu, mana-mana sekolah yang ingkar atau tidak mematuhi pekeliling ini boleh dikenakan tindakan tatatertib," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Chong berkata, penggunaan buku kerja hanya membabitkan murid tahap dua (tahun empat hingga enam) dan hanya satu judul buku kerja sahaja dibenarkan untuk setiap murid bagi mata pelajaran teras iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Cina, Tamil, Matematik dan Sains.

"Pemilihan buku kerja ini dilakukan oleh panitia mata pelajaran sekolah masing-masing berdasarkan kepada keperluan murid dan kesesuaian isi kandungan, mutu dan harga, namun ibu bapa masih boleh memilih untuk tidak membeli.

"Malah, guru juga tidak boleh menggunakan sepenuhnya buku kerja ketika waktu mengajar di dalam kelas, sebaliknya hanya boleh digunakan sebagai sumber latihan selepas guru mengajar konsep dan kemahiran kepada murid," katanya.

Beliau berkata, harga buku kerja yang dipilih perlu berpatutan dan tidak membebankan ibu bapa malah, malah perkara itu juga perlu dimaklumkan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Menurutnya, isu terlalu banyak buku kerja sudah lama wujud dan ia menjadi isu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Katanya, kementerian juga mendapati perkara itu tidak sesuai dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM).

"Kita melaksanakan kelas abad ke-21 dan pengajaran kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) tetapi sekiranya terlalu banyak buku kerja yang digunakan ia tidak mengikuti serta menepati pelaksanaan PPPM," katanya.

Disiarkan pada: October 11, 2017 @ 11:04pm
d