mutakhir

Syabas!

Oleh Salman Hamat

MESKIPUN hanya berbekalkan pengetahuan asas mengenai bidang pemesinan dan program komputer, sekumpulan penuntut Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Merlimau, Jasin, berjaya menghasilkan produk inovasi mesin ‘CNC Millling’ (Computer Numerical Control) sendiri.

Penuntut berkenaan turut dibantu pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal sepanjang proses membina mesin berkenaan yang dikhaskan untuk kerja membuat ukiran pada kayu dan komponen mekanikal dalam bentuk 3 dimensi.

Pengarah Politeknik Merlimau, Rashidah Mustapa berkata, pembangunan mesin CNC Milling itu diselaraskan oleh Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Mohamad Halim Ibrahim dan beberapa lagi tenaga pengajar lain.

Beliau berkata, idea untuk menghasilkan mesin CNC Milling berkenaan timbul selepas proses pembelajaran dan pengajaran terbantut berikutan mesin CNC sedia ada kerap mengalami kerosakan.

"Kos penyelenggaraan mesin berkenaan juga agak tinggi; berikutan itu sekumpulan penuntut Diploma Teknologi pembuatan mengambil inisiatif membangunan mesin CNC Milling berkenaan.

"Proses membina mesin ini dimulakan pada Januari lalu dan siap sepenuhnya pada Ogos yang membabitkan perkongsian idea pensyarah dan 33 penuntut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rashidah berkata, mesin berkenaan bukan sahaja mampu melancarkan proses pembelajaran dan pengajaran sebaliknya boleh digunakan untuk menyiapkan projek penuntut.

Menurutnya, mesin CNC Milling berkenaan juga amat mesra pengguna, menggunakan perisian berlesen, disertakan dengan garis panduan penggunaan serta modul latihan yang mudah difahami.

"Kejayaan ini bakal beri impak kepada bidang mekanikal di Politeknik Merlimau selain membuktikan penuntut sudah menguasai asas mengenai CNC. Langkah ini amat bertepatan dalam usaha melahirkan graduan Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) berkualiti dan berkemahiran tinggi," katanya.

Disiarkan pada: October 11, 2017 @ 11:14pm
d