mutakhir

Ibu sakit jaga anak OKU perlu bantuan

Oleh HM Digital

Bukit Mertajam: Seorang ibu tunggal lima anak bukan sahaja dihimpit kemiskinan, malah masalah penglihatannya turut membataskan pergerakan, sekali gus tidak dapat keluar bekerja bagi menyara keluarga.

Rosmah Abdullah, 58, berkata, selepas suaminya, Azmi Baba, 51, meninggal dunia akibat kemalangan, enam tahun lalu, dia pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan namun tidak lama kerana perlu memberi tumpuan menjaga anak bongsu, Nurfairuzzulianna, 19, yang berstatus orang kurang upaya (OKU).

Menurutnya, Nurfairuzzulianna mengalami masalah pembelajaran terpaksa menamatkan persekolahan sejak dua tahun lalu kerana berdepan masalah pergaulan dengan guru dan rakan sekolahnya.

“Saya hidap masalah mata kiri menjadi kabur dan mata pula mudah silau sejak sebulan lalu menyebabkan sukar untuk mencari pekerjaan yang sesuai. Pada masa sama, faktor usia juga menyebabkan hanya mampu menjaga dan menguruskan Nurfairuzzulianna di rumah.

“Saya mengharapkan bantuan bulanan RM200 daripada Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) atas nama Nurfairuzzulianna selain menerima pencen arwah suami RM400 bagi meneruskan hidup,” katanya.

Katanya, dia perlu menyediakan wang RM3,500 untuk pembedahan membuang katarak di mata kirinya seperti disarankan doktor pakar di sebuah klinik mata bagi melihat dengan lebih jelas.

Menurutnya, selain itu, bil utiliti juga tertunggak tiga bulan dan bayaran rumah sewa sebanyak RM100 sebulan turut tidak dapat dijelaskan selama empat bulan akibat menghadapi masalah kewangan teruk.

Orang ramai yang ingin meringankan beban keluarga itu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank (107117216449) atau menghubungi Rosmah di talian 012-5569115.

Disiarkan pada: October 12, 2017 @ 5:31am
d