mutakhir

Kerana 'sapu' RM70

Oleh Nur Saliawati Salberi

Melaka: Padah mencuri wang daripada tabung sebuah surau dan melakukan pecah rumah, seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, semalam.

Majistret Mohd Firdaus Salleh menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh Mohammad Aszan Khamis, 31, yang mengaku bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Bagi pertuduhan pertama, Mohammad Aszan didakwa mengumpil tabung Surau It Hadiah, Taman Desa Duyong, Melaka Tengah, pada 8 pagi, 26 Mei lalu dan mengambil wang tunai berjumlah RM70.

Berikutan itu Mohammad Aszan, didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Manakala, bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan pecah rumah dan mencuri sebuah kamera Panasonic bernilai kira-kira RM550 kepunyaan seorang lelaki berusia 46 tahun di sebuah rumah di Taman Bukit Katil, antara 9 pagi dan 2 petang pada 3 September tahun lalu.

Atas perbuatan itu Mohammad Aszan, didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun atau denda jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal terhadap penganggur itu atas kesalahan dilakukannya.

Namun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah meringankan hukuman terhadapnya dengan memberi alasan dia perlu menjaga bapanya yang kini sedang sakit.

Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara 12 bulan bagi kedua-dua pertuduhan dan berjalan serentak bermula dari tarikh jatuh hukum.

Disiarkan pada: October 12, 2017 @ 5:53am
d