mutakhir

Sampai hati abe...

Oleh Muhamaad Razis Ismail

Kota Bharu: Seorang peniaga kedai makan sanggup mencederakan isterinya sehingga patah bahu kanan selepas ditegur wanita berkenaan kerana memindahkan pendingin udara ke rumah madunya, Julai lalu.

Pada kejadian itu, dia bukan saja menendang isterinya itu, malah tergamak memijak bahu, dada dan tangan kiri mangsa.

Difahamkan tertuduh memiliki tiga isteri dan mangsa adalah isteri pertamanya.

Bagaimanapun, perbuatan Samsol Kamal Basri, 50, menerima balasan setimpal selepas dijatuhi hukuman penjara empat tahun di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Hakim Nazri Ismail menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan terbabit.

Mahkamah memerintahkan hukuman berjalan dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 18 Julai 2017.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Shahaba Che Lah, 44, di sebuah rumah di Kampung Gelam Gong Serapa, Pasir Puteh, jam 8.45 malam, 16 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, sebelum kejadian, berlaku pertengkaran mulut selepas mangsa tidak berpuas hati dengan tindakan tertuduh memindahkan pendingin udara ke rumah madunya.

Ketika pertengkaran itu, tertuduh mengheret mangsa dari katil sebelum memijak bahu kanan, dada dan tangan kiri wanita terbabit.

Kejadian itu mengakibatkan mangsa patah bahu kanan, sakit belakang kepala dan dada.

Pada hari sama, mangsa dibawa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk rawatan sebelum membuat laporan polis.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana sudah insaf dengan kesalahannya.

“Saya mohon ringankan hukuman kerana saya menghidap angin ahmar dan mengalami masalah penglihatan,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nor Azlinawati Mohd Arshad memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan serius dilakukannya.

“Sebagai suami, dia sepatutnya melindungi mangsa bukan mencederakannya. Saya mohon hukuman yang dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai,” katanya.

Disiarkan pada: October 12, 2017 @ 6:05am
d