mutakhir

Dedah agensi paling korup

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengumumkan kedudukan senarai kementerian yang dinilai berdasarkan kriteria membabitkan isu integriti, rasuah serta salah guna kuasa hujung tahun ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, langkah itu satu mekanisme baru dilaksanakan dalam memastikan perkhidmatan awam bebas unsur jenayah berkenaan.

Menurutnya, senarai kedudukan itu diumumkan secara tahunan dengan permulaan membabitkan kementerian.

“Kami menyiapkan senarai kedudukan kementerian dan akan diisytiharkan kepada umum.

“Justeru, kami mencari masa sesuai membentangkannya kepada umum sama ada November atau Disember. Kaedah seperti ini dilaksanakan di negara lain seperti Korea Selatan dalam membanteras isu rasuah dan salah guna kuasa,” katanya pada sidang media Majlis Ikrar Bebas Rasuah peringkat Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong, timbalannya, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur dan Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk K Yogeesvaran.

Dalam pada itu, Dzulkifli berkata, pengenalan mekanisme baru itu memberi peluang kepada kementerian memperbaiki kedudukan serta berusaha memastikan tiada elemen rasuah dan salah guna kuasa di organisasi masing-masing.

“Sebagai contoh, apabila kedudukan kementerian tidak berada dalam 10 teratas, organisasi itu mempunyai ruang memperbaiki dengan mengambil tindakan yang sepatutnya.

“Banyak kriteria dilihat (untuk penilaian kedudukan) malah mendapat pengesahan daripada pakar berkaitan sekali gus ia tidak dilaksanakan secara semberono,” katanya.

Mengenai majlis semalam, Mah berkata, Ikrar Bebas Rasuah adalah bertepatan dengan kementeriannya yang bertanggungjawab mengawal selia dan membangunkan industri peladangan dan komoditi negara.

Disiarkan pada: October 12, 2017 @ 6:15am
d