mutakhir

Malaysia terbit lebih banyak Sukuk Hijau

Oleh HM Digital

Putrajaya: Malaysia akan terus menjadi peneraju dalam pasaran kewangan hijau Islam dengan menerbitkan lebih banyak Sukuk Hijau, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Beliau berkata, sukuk berkenaan digunakan untuk membiayai projek infrastruktur mesra alam dengan sokongan teknikal dari Bank Dunia yang turut berkongsi amalan terbaik antarabangsa dengan kerajaan dan institusi kewangan Malaysia.

Katanya, pembiayaan Sukuk Hijau adalah satu kaedah inovatif untuk menyediakan pembiayaan global bagi projek pembangunan lestari di bawah rangka kerja Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI).

“Malaysia mencatatkan sejarah dalam pembiayaan hijau dan arena sukuk global dengan penerbitan Sukuk Hijau pertama di dunia oleh Tadau Energy Sdn Bhd (Tadau Energy) pada Julai lalu bernilai RM250 juta.

“Ia diikuti penerbitan Sukuk Hijau terbesar di dunia bernilai RM1 bilion oleh Quantum Solar Park Semenanjung Sdn Bhd (QSPM), sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan negara dalam kewangan hijau Islam dan memantapkan usaha negara dalam memperkenalkan inovasi dalam produk pembiayaan kewangan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan dokumen pembiayaan Sukuk Hijau bagi projek solar di bawah Program Solar Berskala Besar (LSS) yang diperkenalkan kerajaan pada 2015, di sini, semalam.

Majlis penyerahan disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, barisan menteri Kabinet dan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Zaini Ujang.

Penyerahan dokumen itu dibuat antara Tadau Energy dan QSPM dengan pelabur masing-masing iaitu Affin Hwang Investment Bank Berhad serta CIMB Investment Bank dan Maybank Investment Bank.

Maximus berkata, ia adalah pembiayaan Sukuk Hijau pertama di dunia hasil kerjasama antara Suruhanjaya Sekuriti, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank Dunia.

Menurutnya, ia selaras dengan usaha membangunkan ekosistem memudahkan pertumbuhan Sukuk Hijau dan memperkenalkan instrumen kewangan inovatif menangani keperluan infrastruktur global dan pembiayaan.

Disiarkan pada: October 12, 2017 @ 6:18am
d