mutakhir

Didakwa salah guna harta JKR

Ipoh: Seorang wanita yang juga penolong akauntan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam terhadap tiga pertuduhan salah guna harta Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak berjumlah keseluruhan RM11,108 pada tahun 2015.

Tertuduh, Nor Faezah Mohd, 34, yang ketika itu bertugas sebagai Penolong Akauntan JKR Perak didakwa menyalahgunakan harta iaitu Peruntukan Kecil Kerajaan Negeri Perak Belanjawaan Bagi Tahun 2015 untuk tiga program.

Dia didakwa membuat kelulusan pembayaran baucar bayaran untuk program itu kepada Syarikat Sricomp Solutions tanpa kelulusan Ketua Jabatan iaitu Penolong Pengarah Kanan JKR Cawangan Mekanikal Perak, Ahmad Fikri Mohamed Omar.

Baucar bayaran RM3,240 dibuat pada 26 Jun 2015; RM3,868 pada 30 Jun 2015 dan RM4,000 dibuat pada 8 Julai 2015

semuanya kepada syarikat sama.

Nor Faezah didakwa mengikut Seksyen 403, Kanun Keseksaan bagi ketiga-tiga pertuduhan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan boleh dikenakan denda bagi setiap pertuduhan.

Tertuduh yang kini bertugas di Hospital Taiping dan tidak diwakili peguam, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan dan minta dibicarakan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nurul Wahida Jalaluddin di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Pendakwaan meminta mahkamah mengenakan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Nor Faezah kemudian merayu mahkamah mengurangkan jaminan kerana hanya mempunyai simpanan RM5,000 dan perlu menanggung kedua ibu bapanya.

Indra Nehru menetapkan jaminan RM20,000 untuk ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin yang juga ahli

keluarga terdekat dan 23 Oktober ini bagi sebutan semula kes.

Disiarkan pada: October 12, 2017 @ 6:24am
d