mutakhir

LHDN nafi artikel tular

Oleh BERNAMA

LEMBAGA Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) telah mengesan satu artikel berkenaan dengan pengurusan hasil negara yang kononnya dari Group LHDN menjadi tular semula melalui aplikasi Whatsapp dan platform media sosial.

Sebelum ini artikel yang sama turut menjadikan tajuk “Analisa Bajet 2017” yang turut mengaitkan LHDNM sebagai sumber penulisannya.

“Menurut rekod pihak kami, artikel berkenaan telah ditularkan secara bermusim sejak 2015 lagi dan beberapa penafian telah dikeluarkan oleh LHDNM sebelum ini kerana ia secara sengaja mengaitkan nama LHDNM.

“Aduan rasmi juga telah dikemukakan kepada Biro Aduan Pengguna MCMC, Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia dan sedang dalam peringkat siasatan oleh pihak berkuasa berkenaan,” kata LHDN dalam kenyataannya, hari ini.

Katanya, semakan lanjut juga telah dibuat terhadap isi kandungan artikel terbabit dan ia dipercayai bersumberkan satu artikel yang diterbitkan oleh sebuah akhbar milik sebuah parti politik.

Pautan sumber asal artikel adalah seperti berikut: http://m.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/34806-gagal-urus-belanj...

Justeru, LHDNM dengan ini sekali lagi ingin menafikan bahawa artikel berkenaan dikeluarkan oleh LHDNM atau bersumberkan mana-mana pegawai LHDNM.

LHDNM berpandangan artikel itu dikaitkan dengan LHDNM secara tidak bertanggungjawab dan ditularkan semata-mata bertujuan untuk menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat dengan analisa ekonomi yang tidak tepat.

LHDNM turut ingin menasihatkan orang ramai agar merujuk secara terus Portal Rasmi LHDNM di www.hasil.gov.my, Portal Kementerian Kewangan Malaysia di www.treasury.gov.my dan Agensi-Agensi Kerajaan berkaitan bagi mendapatkan analisa serta data-data ekonomi yang tepat dan sahih.

Sila klik pautan ini untuk Salinan Artikel berkenaan dengan pengurusan hasil negara yang kononnya dari Group LHDN : http://mrem.bernama.com/mrembm/pdf/SalinanArtikelberkenaandenganpengurus... : Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).

Disiarkan pada: October 12, 2017 @ 11:06am
d