mutakhir

Bas elektrik di Putrajaya 2025

Oleh Siti A'isyah Sukaimi

PENGANGKUTAN awam bas elektrik akan digunakan sepenuhnya di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan menjelang 2025 dengan lima kenderaan awam itu akan beroperasi bermula suku kedua tahun depan.

Pengarah Urusan GETS Global Berhad (GETS Global), Datuk Che Azizuddin Che Ismail berkata, pihaknya menjangkakan sebanyak 150 bas elektrik akan digunakan di Putrajaya yang akan dilaksanakan secara berperingkat sekali gus menggantikan penggunaan bas gas asli (NGV).

Menurutnya, langkah itu juga sejajar dengan usaha menzahirkan hasrat bandar hijau di Putrajaya selain mengurangkan pencemaran karbon, bunyi serta kesesakan lalu lintas.

"Selain itu, usaha dijalankan ini juga menyamai inisiatif dilaksanakan di Beijing, China yang dilihat dapat menjimatkan kos bahan api.

"Pembelian bas berkenaan membabitkan perbelanjaan RM200 juta dan diharap dapat digunakan untuk pengguna kemudahan pengangkutan awam ini," katanya selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pengambilalihan syarikat Pengangkutan Awam Putrajaya Travel & Tours Sdn Bhd di sini, hari ini.

Beliau mewakili GETS Global menandatangani MoU itu manakala, Putrajaya Leisure & Services Sdn Bhd (Pulse Group) diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Badlishah Ahmad dengan disaksikan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Seri Hasim Ismail.

MoU itu dimeterai membabitkan Konsortium Bas Ekspres Semenanjung (M) Sdn Bhd selaku anak syarikat GETS Global yang kini mengambilalih 79.99 peratus ekuiti daripada Pulse Group selaku pemegang saham terbesar PAPTT.

PAPTT adalah syarikat menguruskan pengangkutan awam dan tempat meletak kereta di Putrajaya serta agensi pelancongan.

Sementara itu, Che Azizuddin berkata, dalam memastikan penggunaan bas elektrik itu dapat dilaksanakan, pihaknya turut memberi fokus untuk menambah baik kualiti pengangkutan awam di sini termasuk memperkenalkan tiga jaringan laluan bermula 2018.

Katanya, ia membabitkan laluan biru untuk lokasi premis kerajaan, kuning untuk kediaman di Putrajaya manakala hijau bagi kawasan pelancongan sekitar sini.

Malah, beliau memberi jaminan untuk tidak menaikkan tambang 50 sen selain mengkaji berkemungkinan mengenakan tambang percuma.

Disiarkan pada: October 12, 2017 @ 3:04pm
d