mutakhir

143 koperasi tutup operasi

Oleh Faliq Lajim

SEBANYAK 143 daripada 13,428 koperasi di seluruh negara ditutup dalam tempoh dari Januari hingga September lalu.

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Datuk Dr Noor Zari Hamat berkata, koperasi yang ditutup itu tidak mempunyai matlamat jelas dalam membangunkan serta menggerakkan koperasi bagi menjalankan aktiviti perniagaan.

"Kita berperanan mengawal selia koperasi ini. Koperasi yang tidak aktif serta tidak menjalankan aktiviti dalam tempoh tertentu akan dibatalkan pendaftaran.

"Namun sebelum membatalkannya, kita akan pulihkan terlebih dulu melalui latihan, bengkel dan sebagainya. Jika didapati tidak boleh lagi dipulihkan, baru kita tutup," katanya ketika ditemui dalam Program Walkabout Promosi Hari Jualan Koperasi Negeri Selangor 2017 di SKM Selangor, Shah Alam, hari ini.

Noor Zari berkata, salah satu faktor penutupan itu berlaku juga disebabkan tiada pelapis muda dalam membangunkan koperasi di negara ini.

Berikutan itu, katanya, SKM kini giat menggerakkan koperasi dengan membuat Program Usahawan Koperasi peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi di seluruh negara bagi melahirkan pelapis muda.

"Setakat ini, kita mempunyai lebih 2,000 koperasi yang diterajui golongan muda," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan melancarkan Pasar Komoditi Koperasi secara berperingkat di lokasi yang menempatkan majoriti golongan isi rumah berpendapatan rendah melalui kerjasama Gabungan Koperasi Majlis Perundingan Melayu Berhad pada 29 Oktober ini di perkarangan Masjid Nurul Yakin, Kelana Jaya.

Disiarkan pada: October 12, 2017 @ 3:36pm
d