mutakhir

Dicari tidak jumpa

Oleh Ramli Ibrahim

PASUKAN mencari dan menyelamat (SAR) masih belum menemui sebarang petunjuk kehilangan seorang lelaki, Lau See, 69, di Hutan Simpan Kekal Lebir, Aring 8, Gua Musang sejak Isnin lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gua Musang Deputi Superintendan Abdullah Daud berkata, operasi SAR masih dijalankan pihaknya membabitkan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan penduduk kampung.

Katanya, kawasan pencarian diperluaskan ke tiga kilometer persegi membabitkan kekuatan lebih 20 anggota.

"Setakat ini tiada perkembangan positif dan usaha mencari dan menyelamatkan mangsa masih dijalankan.

"Belum ada penemuan lagi. Kita mulakan operasi pada 10 pagi dan tamat 6 petang," katanya ketika ditemui di Gua Musang, hari ini.

Harian Metro semalam melaporkan Lau See yang turut dipanggil Akok memasuki kawasan hutan itu bersama dua penduduk Orang Asli pada 2.30 petang, Isnin lalu, untuk meninjau kerja mengukur sempadan.

Dua penduduk Orang Asli berkenaan, Pandu Amat, 45, dan anaknya, Azerin, 20, bagaimanapun keluar dari hutan selepas dua jam dan menunggu mangsa di kenderaan pacuan empat roda yang diletakkan tiga kilometer dari kawasan mereka masuk ke hutan.

Selepas menunggu lebih sejam, Lau See tidak muncul dan mereka mencari di kawasan sekitar namun gagal menemuinya.

Pandu membuat laporan kehilangan mangsa di Balai Polis Paloh dan gerakan SAR dimulakan pada Selasa lalu.

Disiarkan pada: October 12, 2017 @ 4:19pm
d