mutakhir

Sistem perparitan punca banjir

Oleh Aizat Sharif

MASALAH sistem perparitan di kawasan Bukit Pinang, Pokok Sena dipercayai punca Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Pinang dilanda banjir kilat sehingga menjejaskan sesi persekolahan, semalam.

Pembantu Pegawai Operasi Agensi Pertahanan Awam (APM) Daerah Kota Setar, Leftenan Muda (Pertahanan Awam) Muhammad Elias Md Noor berkata, banjir yang memenuhi kawasan perkarangan sekolah sudah mulai surut sejak 10 malam semalam.

“Kita percaya air memenuhi kawasan sekolah disebabkan masalah perparitan.

“Masalah itu juga menyebabkan kawasan sekolah ini sering terdedah banjir setiap kali hujan,” katanya ketika ditemui semasa melakukan gotong-royong pasca banjir di SK Bukit Pinang, Pokok Sena hari ini.

Sementara itu, Guru Besar SK Bukit Pinang, Badriah Minai berkata, sesi persekolahan terpaksa dihentikan sekitar 11 pagi apabila air mula memenuhi perkarangan sekolah itu.

“Bilik ICT yang menempatkan komputer antara yang teruk terjejas,” katanya.

Sementara itu, sehingga 12 tengah hari tadi, sebanyak tiga pusat pemindahan (PP) mangsa banjir masih lagi dibuka di daerah Kubang Pasu dan Kota Setar.

Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri dalam satu kenyataan berkata, jumlah mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan adalah seramai 130 orang membabitkan 27 keluarga.

Disiarkan pada: October 12, 2017 @ 4:40pm
d