mutakhir

2 anggota polis maut

Oleh Rosli Ilham

DUA anggota trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun maut selepas motosikal ditunggang mereka dirempuh sebuah lori di Kilometer 139, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Teluk Kalung, Chukai pada 2.55 petang, hari ini.

Sarjan Mejar Abdul Hakim Samingan, 54, dan Koperal L Suresh, 36, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketika kejadian, anggota trafik itu bersama tujuh pegawai dan 18 anggota trafik lain dalam konvoi latihan menunggang jarak jauh motosikal berkuasa tinggi.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, mereka yang bergerak dari Mersing, Johor dalam perjalanan ke Kuala Terengganu.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, sebuah lori dipercayai masuk ke laluan konvoi terbabit sebelum merempuh dua motosikal jenis Honda CBX750 yang ditunggang kedua-dua mangsa.

"Kejadian itu menyebabkan kedua-dua anggota terbabit tercampak dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya

Mohd Said berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat.

Menurutnya, pemandu dan kelindan lori terbabit ditahan untuk siasatan lanjut.

“Ujian saringan air kencing turut dibuat ke atas pemandu dan kelindan terbabit. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: October 12, 2017 @ 6:48pm
d