mutakhir

Kebas RM500

Oleh Mohd Hasbi Sidek & Nurul Hidayah Bahaudin

TIDAK sampai 24 jam selepas mencuri wang tunai milik seorang wanita warga emas, pembantu rumah warga Indonesia ditahan di rumah mangsa di Jalan Bendahara, Bandar Mahkota Cheras, di sini, kelmarin.

Kejadian itu hanya disedari mangsa berusia 68 tahun selepas mendapati wang tunai miliknya berjumlah RM1,200 yang diletakkan di dalam dompet hilang.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, mangsa yang bekerja sebagai ejen insurans memanggil suspek yang bekerja sebagai pembantu rumah sambilan bagi membantunya melakukan kerja rumah pada 7.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Menurutnya, suspek berusia 34 tahun itu sering ke rumah mangsa iaitu pada setiap minggu hari Rabu untuk melakukan kerja rumah dengan bayaran RM50 bagi setiap satu jam melalui bantuan ejen.

"Sebaik pembantu rumah itu beredar, mangsa pergi ke biliknya untuk memeriksa dompetnya sebelum menyedari wang tunai sebanyak RM1,200 hilang.

"Mangsa kemudian menghubungi pemandu yang sering menghantar suspek ke rumahnya untuk memeriksa beg wanita berkenaan sekiranya menemui wang tunai terbabit.

"Pemandu itu memaklumkan dia menemui sejumlah wang tunai dalam beg wanita berkenaan sebelum mangsa meminta lelaki terbabit menghantar suspek ke rumahnya,”€ katanya.

Ahmad Dzaffir berkata, suspek yang datang ke rumah mangsa bersama pemandu itu pada 6.10 petang mengaku mengambil wang tunai itu selepas didesak beberapa kali.

"Bagaimanapun, suspek mengaku dia hanya mengambil wang tunai mangsa sebanyak RM500. Wanita itu ditahan pihak polis ketika berada di rumah mangsa sebaik menerima laporan daripada wanita itu kira-kira 8 malam.

"Berdasarkan rekod, suspek dikatakan bekerja sebagai pembantu rumah sambilan di rumah mangsa pada September lalu dan menetap di sebuah rumah sewa di Taman Jenaris," katanya.

Katanya, suspek direman selama empat hari bermula 12 hingga 15 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: October 12, 2017 @ 8:08pm
d