mutakhir

'Semangat tentera masih tebal'

Oleh Nur Ain Musdad

“SAYA mengalirkan air mata, sambil menahan kesakitan, rakan-rakan hanya tiba untuk beri bantuan 30 minit kemudian. Ketika itu masing-masing perlu berwaspada kerana kami dalam kawasan pertempuran," kata pesara tentera Kasburi Ab Aziz, 62, yang kudung kaki kanan akibat terkena jerangkap samar ketika terbabit dalam Op Naga di Gubir, Kedah.

Kasburi berkata, kejadian itu berlaku pada Selasa 7 September 1976 yang mengubah kehidupannya apabila kehilangan kaki kanan sewaktu melakukan pemeriksaan jerangkap samar.

Katanya, terdahulu dia bersama 12 anggota Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), diturunkan ke kawasan operasi menggunakan helikopter Nuri pada pagi kejadian, sebelum terus memulakan tugas membersihkan periuk api dipasang pengganas komunis.

Pesara tentera itu berkata, ketika sedang melakukan kerja pembersihan, dia terpijak jerangkap samar yang kemudian meletup menyebabkan kaki kanannya parah.

"Jika ikutkan hati saya mahu menjerit sekuat hati kerana sakitnya ketika itu hanya Allah SWT sahaja tahu, tapi terpaksa tahan kerana risau lokasi saya dikesan musuh berikutan pertempuran masih lagi berlaku.

"Saya berasa lega selepas beberapa orang rakan menemui lokasi saya, akibat kecederaan parah saya terus diterbangkan ke Hospital Pulau Pinang untuk diberikan rawatan lanjut di sana.

"Selepas dimasukkan ke dalam bilik rawatan saya terus dibius menyebabkan saya tidar sedar, rakan hanya beritahu doktor terpaksa potong bahagian buku lali ke bawah kerana putus terkena jerangkap samar, bahagian paha pula dapat diselamatkan walaupun dipenuhi lubang akibat ditembusi sepihan jerangkap samar," katanya.

Terdahulu, Kasburi dan beberapa lagi pesara lain diraikan pada Majlis Ramah Mesra Anggota Cedera Peringkat 3 Divisyen Sempena Hari Ulangtahun (HUT) Angkatan Tentera Malaysia(ATM) ke- 84 di Kem Terendak, Sungai Udang, Melaka Tengah, hari ini yang dihadiri Panglima Markas 3 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah.

Menurutnya, sehingga sekarang dia masih mengenangkan peristiwa hitam itu yang mengubah fizikal dan cara kehidupannya sehariannya walaupun sudah lebih 41 tahun berlalu.

"Akibat kudung kaki, saya ditukarkan ke Kor Perkhidmatan Am (KPA Gaji), walaupun sudah bersara semangat tentera masih tebal dalam hidup saya dan tidak pernah menyesal menyertai perkhidmatan ATM," katanya.

Disiarkan pada: October 12, 2017 @ 8:19pm
d