mutakhir

'Makan dalam...'

Oleh Asrizal Aris

 

SELEPAS gambar kek berbentuk kotak rokok dan kubur dijadikan sebagai kejutan hari lahir seorang suami tular di laman sosial sejak 4 Ogos lalu, perkara itu sejak kebelakangan ini menjadi 'trend' apabila ramai golongan isteri menempah kek berbentuk kotak rokok buat pasangan mereka.

Biarpun hanya sekadar kek, ia disertai maksud tersirat dan teguran 'makan dalam' buat insan tersayang supaya berhenti merokok kerana ia membahayakan kesihatan.

Pengasas Far Recipe, Faiqah Athirah Muhamad Razlan, 23, berkata, dia menerima sambutan yang menggalakkan mengenai tempahan kek berbentuk rokok selepas kali pertama membuatnya untuk seorang guru, bulan lalu.

"Kek itu ditempah oleh sekumpulan pelajar untuk gurunya. Pada mulanya ia sebagai satu cabaran baru buat saya kerana belum pernah buat kek berbentuk rokok.

"Alhamdulillah, selepas itu kek rokok mendapat sambutan terutamanya bagi kalangan isteri yang mahu membuat kejutan untuk suami mereka.

"Guru yang menerima kek rokok yang saya buat tempoh hari, kini difahamkan sudah kurang merokok tambahan pula dia mempunyai masalah kesihatan," katanya dari Kampung Tengah Gelok, Lenggong, Perak.

Pengusaha kek, Noorhasliza Dzolkiple, 33, berkata, dia menerima tempahan kek berbentuk rokok selepas gambar kek berkenaan tular di laman sosial ketika seorang isteri membuat kejutan buat suami dua minggu lalu.

"Permintaan semakin tinggi terutama dalam kalangan isteri yang akan syorkan kek saya kepada rakan-rakan. Ia bukan sekadar kek, kerana mempunyai maksud dan nasihat tersendiri untuk suami mereka yang merokok.

"Harga pula bergantung kepada kepelbagaian warna dan rekaan rokok yang diminta iaitu sekitar RM50 hingga RM80 untuk sekilo kek," kata ibu kepada dua anak itu. 

Menurutnya, dia mengakui kek berbentuk rokok dan kubur berkenaan sudah menjadi trend dan antara usaha terbaik untuk menegur perokok yang menyambut ulang tahun kelahiran mereka.

Sementara itu, guru tuisyen, Mohd Shahril Iswadi Mansor, 30, berkata, kejutan hari lahir dengan kek berbentuk kotak rokok beserta kubur yang ditempah isterinya 4 Oktober lalu, ternyata menimbulkan keinsafan kepadanya.

Katanya, pada mulanya dia terkejut namun tidak timbul perasaan marah, sebaliknya menganggap ia adalah 'ucapan hari jadi' yang menyatakan keluarga mengambil berat kepadanya.

"Timbul rasa insaf dan kesedaran bahawa keluarga betul-betul sayangkan kita. Ia mesej yang mendalam dan mengingatkan kita pada kematian.

"Saya makan bahagian batu nisan dulu. Ia membuatkan saya insaf. Sekarang saya dah kurangkan merokok dan Insya Allah saya akan cuba berhenti demi keluarga yang sayangkan saya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Shahril yang juga pengusaha butik pengantin Kaseh D Restu, biarpun terdapat komen di laman sosial mengatakan kejutan itu seolah-olah mengaibkannya, dia berfikiran positif menganggap usaha isterinya itu sebagai teguran yang baik buatnya.

Ahli perniagaan, Mohammad Kamal Ismail, 32, berkata, dia menyifatkan kejutan kek hari lahir dengan rekaan kotak rokok dan kubur sebagai tindakan terbaik isterinya, Noor Hidayah Mohamad Isa, 28.

"Sehingga hari ini, saya tidak dapat melupakan saat itu meskipun sudah lebih sebulan kejutan itu dibuat. Ia benar-benar memberi keinsafan dan mengingatkan saya nasihat supaya berhenti merokok yang hampir setiap hari diucapkan isteri.

"Saya masih okay dengan kek berbentuk rokok tetapi lebih terkejut apabila ada rekaan kubur dengan tulisan 'rokok membawa maut, hargailah baki nyawa abang'.

"Saya hargai apa yang dilakukan isteri dan anak-anak, saya sudah mula kurangkan merokok dan merancang untuk berhenti," kata bapa kepada dua anak itu.

 

Disiarkan pada: October 12, 2017 @ 11:17pm
d