mutakhir

40 pamer kreativiti lukis mural, kolam

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Seramai 40 pelajar dari Institut Seni Lukis Malaysia (MIA) menzahirkan kreativiti mereka dalam karya seni mural dan kolam sempena perayaan Deepavali di kompleks beli-belah Berjaya Times Square (BTS) berakhir 22 Oktober ini.

Gerak kerja pelajar berkenaan mendapat kerjasama daripada 35 anak yatim dari Pertubuhan Anak Yatim Mary dan Pusat Jagaan Rumah Bodhi.

Karya seni mural menampilkan tema Warna Warni Diwali itu menampilkan elemen burung merak di samping lakaran corak seni paisley bermotifkan warna warni.

Pelajar Diploma Ilustrasi MIA, Nurmata Nisaul Hikmah Tasmono, 22, berkata, dia dan rakan mengambil masa tiga hari menyiapkan karya seni mural dan kolam kepada pengunjung kompleks beli-belah itu sempena sambutan Deepavali akan datang.

“Sepanjang tempoh itu, saya teruja kerana dapat turut serta melakar seni mural bersama rakan daripada pelbagai kaum.

“Setiap lakaran dilukis diambil sempena perayaan Deepavali apabila kami menyelitkan elemen burung merak dalam setiap lukisan,” katanya ketika ditemui pada perasmian sambutan Warna Warni Diwali, di sini.

Seorang lagi pelajar, Yeap Fong Ray, 20, berkata, dia teruja dapat menyiapkan karya mural yang berukuran 600 meter manakala kolam berukuran 400 meter yang akan dipamerkan di kompleks beli-belah berkenaan.

“Sebelum melakar, kami membuat perancangan dua minggu untuk mencari idea, jenis lakaran serta warna yang sesuai supaya bertepatan dengan tema Deepavali oleh pihak BTS,” katanya.

Menurutnya, dia berterima kasih kepada BTS kerana memberi peluang kepada anak muda melakar karya seni mereka yang menjadi tatapan kepada pengunjung dari dalam dan luar negara.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif BTS Koh Huey Min, Pengurus Kanan Pemasaran dan Promosi BTS Elaine Ong dan Ketua Pegawai Eksekutif MIA Lok Lay Hong.

Sementara itu, Koh berkata, penampilan karya seni mural buat kali keempat bersama MIA itu bertujuan memberi pendedahan kepada anak muda, selain menghargai karya yang dihasilkan mereka untuk dipamerkan kepada pengunjung.

“Tahun ini, BTS bukan saja menyambut perayaan Deepavali, tetapi menyambut kepelbagaian dan kreativiti dihasilkan bakat muda dari MIA.

“Berdasarkan karya ini, kami mahu memupuk Konsep 1Malaysia dalam kalangan anak muda di samping berkongsi hasil kerja,” katanya.

Sepanjang penampilan karya itu, pengunjung berpeluang menyaksikan tarian tradisional kaum India pada 6, 14 dan 15 Oktober.

Disiarkan pada: October 13, 2017 @ 8:20am
d