mutakhir

Pamer arca gangsa 30 tahun

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Arca wanita hamil berusia 26 tahun menjadi kebanggaan kepada pengukir terkenal, Chin Wan Kee, 55, apabila ia dipamerkan di Balai Seni Negara (NAG), di sini.

Pameran Sculpturing Is Meditative by Chin Wan Kee: Selected Works 1997-2017 yang bermula semalam hingga 30 Oktober ini dibuka secara percuma kepada orang ramai dari jam 10 pagi hingga 6 petang di Ruangan Kreatif Tingkat 3 NAG.

Kata Chin, 52 karyanya ditampilkan dalam pameran itu dan semuanya daripada acuan gangsa.

“Saya suka dengan gangsa dan memilih menghasilkan arca gangsa untuk tatapan umum. Semua karya saya adalah meditasi diri sendiri.

“Ukiran ini memberi makna kepada saya untuk merasai kebenaran dan kebebasan dalam kehidupan,” katanya ketika ditemui selepas perasmian pameran itu di NAG, semalam.

Perasmian disempurnakan Mantan Pengerusi NAG Tan Sri Kamarul Ariffin sambil disaksikan Ketua Pengarah NAG Prof Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa.

Tambah Chin, karyanya itu satu penghargaan buat dirinya dalam seni ukiran arca.

“Setakat ini, saya ada lebih 200 koleksi dan semuanya bertemakan kebebasan dan keamanan, malah jika dilihat kebanyakan karya saya menggunakan motif burung kerana ia melambangkan tema yang dipersembahkan.

“Setiap arca yang diukir mengambil masa antara dua hingga empat bulan untuk disiapkan,” kata pensyarah di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman.

Katanya, arca dipamerkan bertujuan untuk jualan dengan harga antara RM8,000 hingga RM22,000.

“Dalam banyak arca yang dihasilkan, saya paling suka Realization is not an answer yang menggunakan imej manusia dan burung,” katanya.

Disiarkan pada: October 13, 2017 @ 8:20am
d