mutakhir

Bekas guru seniman jalanan

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Jiwa seni yang menebal dalam dirinya mendorong bekas guru Matematik, Sharul Imran Wahid, 41, meninggalkan kerjaya itu semata-mata mahu aktif dalam aktiviti busking yang dirasakan lebih memberi kepuasan kepadanya.

Sharul Imran berkata, dia tidak pernah menyesal dengan keputusan berhenti kerja selepas sembilan tahun berkhidmat sebagai tenaga pengajar di beberapa sekolah rendah dan menengah sekitar negeri ini.

Menceritakan kisah perjalanan dunia seninya Sharul Imran berkata, dia mula berjinak-jinak dalam bidang itu dengan belajar bermain piano ketika usianya baru empat tahun sebelum dikembangkan lagi kepada alatan lain dan mengasah vokal.

“Selepas Maghrib, saya keluar rumah dan menuju ke sekitar bandar raya ini untuk aktiviti busking. Kebiasaannya saya berhenti pada jam 12 tengah malam, tapi kalau ada permintaan saya lewatkan sehingga ke pagi.

“Wang sumbangan orang ramai digunakan untuk beli keperluan harian, memang pendapatan bulanan tidak menentu kalau dibandingkan ketika bertugas sebagai guru sebelum ini, tapi busking memberi kepuasan kepada saya,” katanya ketika ditemui di Pasar Borong Batu Berendam, di sini, kelmarin.

Dengan berbekal sebuah gitar kapok, kerusi kecil dan sistem audio dibelinya dengan harga RM3,000 lima tahun lalu Sharul Imran akan menyampaikan lebih 18 lagu pada setiap malam sepanjang persembahannya.

Selang beberapa lagu dia berhenti rehat seketika, bersembang dengan peminat atau menikmati makan malam.

Dia yang lebih mesra dengan panggilan Asiw Wahid mengaku berasa puas menghiburkan orang ramai di sekitar Melaka termasuk di kawasan pasar borong Batu Berendam, Taman Kota Laksamana dan Banda Hilir.

“Saya teruja setiap kali orang ramai bertepuk tangan sebagai tanda menghargai persembahan. Untuk mengelak penonton cepat bosan saya pelbagaikan rentak lagu seperti rock, reggae, sentimental, blues, pop dan jazz, bukan saja bahasa Melayu tetapi Inggeris, Cina serta Jepun.

“Sebenarnya aktiviti ini mengurangkan rasa sunyi saya selepas berpisah dengan isteri yang berasal dari Jepun empat tahun lalu.

“Sekarang saya hidup sendirian namun tetap gembira setiap kali melakukan aktiviti ini,” katanya.

Sharul Imran yang menetap di Pulau Gadong berkata, selain sekitar bandar raya Melaka dia pernah diundang untuk membuat persembahan di Pulau Tioman, Kuantan, Terengganu dan Ipoh.

Menurutnya, selain minat terhadap seni, dia mengambil keputusan berhenti daripada menjadi guru berikutan mengalami masalah kesihatan dengan membuat pilihan pencen awal.

“Sekarang saya terima pencen RM700 sebulan, tapi jumlah itu tak cukup untuk tampung kos hidup sekarang, jadi saya aktif dalam aktiviti busking untuk tambah pendapatan.

“Saya bercadang menerbitkan album sendiri membabitkan tiga lagu Melayu dan dua Inggeris,” katanya.

Disiarkan pada: October 13, 2017 @ 8:21am
d