mutakhir

Usah bebani murid

Oleh Isma Ismail

Kuala Terengganu: Pihak sekolah diminta tidak memberi dan membebani murid dengan buku tambahan hingga menyebabkan mereka tertekan hingga hilang minat untuk belajar.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya pernah minta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menimbang beg murid sekolah rendah dan didapati ada yang bawa sehingga 10 kilogram.

Katanya, ia membebankan mereka, sekali gus memberi tekanan kepada murid sekolah rendah yang berusia tujuh hingga 12 tahun itu.

“Kenapa kita perlu sediakan begitu banyak buku tambahan kepada mereka kerana sebenarnya apa yang terdapat dalam buku teks sudah memadai.

“Tidak perlu kita masukkan ke otak mereka dengan begitu banyak, dengan usia mereka itu tidak mampu dan boleh memberi tekanan hingga akan menyebabkan kanak-kanak ini hilang minat ke sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Graduasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan negeri Bazlan Abd Rahman, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) Shafruddin Ali Hussin dan Pengerusi PIBG SMK Sultan Sulaiman Datuk Mohd Sabri Alwi.

Pada majlis berkenaan, 180 pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) manakala 212 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerima sijil masing-masing disampaikan Mahdzir.

Disiarkan pada: October 13, 2017 @ 8:23am
d